Saturday, 8 September 2012

Panglima Yusuf episod 4


Tahun 2012

            Kapten Razak terkejut bukan kepalang. Dia tidak pernah menghadapi situasi seperti ini. Dirasakan sekujur tubuhnya menggeletar. Tetapi, disembunyikan perasaan gementar itu jauh-jauh. Dia tidak mahu dilihat sebegitu oleh para penumpang Aizzer Cruize dan juga anak-anak buahnya. Dia sebagai kapten harus dilihat berani.

            Hakim lantas memaut lengan Shira untuk membantunya bangun semula. Ezad turut membantu Dira. Mereka lantas berlari menuju kedalam perut kapal. Kapten Razak masih teguh berdiri menghadap kapal diperbuat daripada kayu itu. Diperhatikan satu persatu anak-anak kapal dihadapannya. Semuanya membengis. Kemudian, mereka membuat satu laluan kosong ditengah-tengah. Seorang lelaki berpakaian besi berjalan di laluan yang dikosongkan. Pedang tersisip kemas di pinggang kanannya.

            Pada masa yang sama, Kapten Razak mengarahkan salah seorang daripada anak-anak buahnya untuk meminta bantuan kecemasan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia atau akronimnya, TLDM. Itu langkah pertama yang seharusnya diambil. Maka, terkocoh-kocohlah anak buahnya itu berlari ke bilik kawalan untuk melaksanakan arahan yang diberikan ketuanya.

            “Serahkan semua harta dan gadis-gadis perawan yang berada di dalam bahtera kalian.” Jerkah lelaki berpakaian besi itu. Dia kini berdiri di hadapan dek kapal. Jeritannya kuat. Telor bahasanya seperti orang Indonesia.

            “Siapa kamu?” balas Kapten Razak.

            “Aku ketua lanun di perairan Pulau Merah ini. Segala bahtera yang lalu disini tidak akan dapat keluar dengan selamat tanpa ijinku.” Katanya membongkak.

            “Saya tidak pernah mendengar nama Pulau Merah yang kamu katakan. Dan, saya tidak akan meminta izin kamu untuk pergi dari sini.” Kapten Razak berteriak tegas. Teriakannya disambut gelak tawa yang amat menggerunkan. Seluruh isi kapal lanun itu tertawa mendengar kata-kata kapten Razak.

            “Brengsek! Jadi, bersiap sedialah untuk dibinasakan!” Ketua lanun itu membalas. Kata-katanya disambut sorak gembira oleh anak-anak buahnya. Mereka seolah-olah hilang akal.

            “Nanti! Jangan diapa-apakan kami. Kalau tidak, kamu semua akan berhadapan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia. Mereka dalam perjalanan ke mari.” Kapten Razak cuba untuk mengakali lanun-lanun itu. Pada hematnya, anak buahnya yang diarahkan untuk membuat laporan kecemasan tadi telah berjaya melaporkan kepada pihak TLDM. Semua orang tahu tentang kecekapan tentera laut di Malaysia. Telah banyak aktiviti-aktiviti jenayah di perairan Malaysia telah berjaya ditumpaskan.

            Ugutan Kapten Razak itu telah membuatkan para penumpang berasa amat lega mendengarnya. Mereka tahu mereka akan diselamatkan sebentar lagi. Tetapi tidak bagi para lanun di hadapannya.

            “Tentera Laut Di Raja Malaysia? Apakah itu? Aku tidak pernah mendengarnya. Ah! Persetan semuanya! Para lanun sekalian, habisi mereka. Rampas semua harta dan perawan. Bunuh semua pria di dalam kapal itu! Serang!!” arah ketua lanun itu.

            Arahan ketua lanun itu membuatkan semua  penumpang Aizzer Cruize menjadi tidak keruan.      Keadaan menjadi kacau bilau. Mereka berlari bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Hakim lantas menyiku cermin yang diletakkan kapak di dalamnya. Ezad turut meniru perbuatannya.

            “Kita nak sembunyi kat mana ni? Mereka terlalu ramai.” Aina bersuara risau. Dira mengangguk tanda mengiyakan.

            “Jom, ikut sini.” Akhirnya Hakim bersuara. Dia berlari di hadapan sebelah tingkap kapal. Tiba-tiba tingkap dihadapannya pecah. Kelihatan satu cangkuk besi yang diikatkan tali menerjah masuk. Lanun-lanun itu menggunakan tali itu sebagai alat penghubung untuk mereka sampai ke dalam Aizzer Cruize. Shira melihat ke luar tingkap. Dipicingkan pandangannya.

            “Tunduk, semua tunduk!” Shira menjerit memberi amaran. Lalu mereka semua menuruti. Sebaik sahaja mereka menunduk, berpuluh-puluh besi bercangkuk melayang memecahkan tingkap dan dinding kapal. Berderailah serpihan kaca  di tubuh mereka. Apabila ditarik talinya, cangkuk besi itu akan terpaut di tepi tingkap. Mereka semua terus merangkak ke tepi. Bimbang jika cangkuk-cangkuk besi itu dilepaskan lagi.

            Kapten Razak yang tadinya diluar kini berlari masuk. Dia juga cuba mengelak daripada dihujani cangkuk-cangkuk besi itu. Apabila dilihat enam sekawan itu sedang merangkak, dia berteriak memanggil mereka semua supaya mengikutinya. Kapten Razak terus membuka pintu keselamatan menggunakan anak kuncinya. Mereka semua berdiri ketakutan dibelakangnya. Kedengaran jeritan di dek kapal. Suara seorang lelaki meminta tolong. Hakim segera berlari keluar. Dia terpaku apabila melihat lelaki itu dibunuh dengan kejamnya. Tenggoroknya dirobek dengan kerambit. Darah membuak-buak keluar. Dihadapannya kini terdapat berpuluh-puluh lanun sedang memerhatikannya.

            “Kerjain pria itu!” Kedengaran nyaring suara seorang lelaki menjerit. Sepantas kilat Hakim berlari mendapatkan rakan-rakannya sambil menjerit-jerit seperti orang terkena serangan histeria.

            “Cepat masuk semua. Kunci pintu itu. Mereka semua sudah berada di luar kapal ini!” Katanya sambil berlari. Mereka yang mendengarnya terus cepat-cepat memasuki pintu itu. Hakim orang terakhir yang memasukinya. Lantas, Kapten Razak terus mengunci pintu tersebut.

            “Mari ikut saya. Tangga ini menuju ke bilik kawalan.” arah Kapten Razak. Kedengaran pintu diketuk kuat daripada luar. Bunyinya berdentum-dentum disepak dan diterajang lanun-lanun itu. Syamil menjerit ketakutan. Dira segera menarik tangan Syamil lalu terus berlari mengikuti Kapten Razak.