Friday, 20 April 2012

episode 2


Tahun 2012

Di dalam Aizzer Cruise, mereka sedang menikmati hidangan yang disediakan. Semuanya makanan mewah. Para pelayan sentiasa ada untuk memenuhi permintaan mereka.  Kapal mewah itu meluncur laju di perairan laut Pulau Pinang. Selesai makan, mereka  menuju ke luar kapal untuk menikmati pemandangan di lautan yang luas itu.

            “Cantiknya pemandangan di sini. Kan seronok kalau setiap hari begini. Hilang stress belajar” Kata Aina.

            “Betul tu. Alah, kau nak stress-stress kenapa? Kau kan Top Student. Apa-apa subjek pon mesti dapat A punyalah.” Balas Dira.

            “Hello kawan, kalau tak bersengkang mata mengadap buku setiap malam, tak  mungkin aku dapat pointer yang baik tau.” Respon Aina. Dira hanya memandang terus ke lautan yang luas. Pandangannya kosong.

            “Korang, let say la kan, tiba-tiba kapal ni karam..”

            “Weh, tak sayang mulut ke? Kau nak sangat? Celupar betol dia ni.” Syamil memotong kata-kata Ezad. Dia menjadi seram mendengar andaian itu.

            “Bukan apa, aku cuma cakap je. Kenapa? Kau takut tak sempat untuk berubah menjadi lelaki sejati? Soal Ezad sambil tertawa. Syamil  merengus kencang.

            “Hakim! Tengok you punya kawan ni. Tak habis-habis nak kenakan I tau. Benci.” Syamil mengadu kepada Hakim. Hakim hanya tertawa. Dira terus datang kepada Ezad lalu mencubitnya. Ezad mengaduh kesakitan. Syamil pula yang tertawa.

            “Haa, padan muka kau. Itulah, kenakan orang lagi.” Syamil bersuara lagi.

Suasana menjadi sunyi sepi. Seperti biasa pasangan yang sedang dilamun cinta itu berpelukan sesama mereka. Seolah-olah tiada jurang yang dapat memisahkan. Mereka memadu kasih tanpa sebarang ikatan yang sah. Mereka berpasangan bukan kerana Allah, tetapi kerana nafssu semata-mata. Sesungguhnya, Allah itu Maha Melihat dan Mengetahui apa yang dilakukan oleh hamba-hambanya.

Shira seorang gadis yang periang. Dia dibesarkan oleh kedua ibu bapanya dengan limpahan kemewahan. Minta apa sahaja pasti akan ditunaikan. Kedua ibu bapanya ahli perniagaan berjaya. Mereka berdua selalu sahaja tiada dirumah. Kadang-kadang outstation sehingga berminggu-minggu lamanya. Shira yang sudah terbiasa dengan keadaan itu tidak mengendahkannya lagi. Apa yang penting, segala apa yang dihajatkannya ditunaikan.

Pada malam minggu, dia pasti akan berhibur di kelab malam bersama rakan-rakannya. Hidupnya liar. Tiada siapa yang boleh menegurnya. Hatinya penuh dengan keduniaan. Syaitan laknatullah telah berjaya mengaburi mata hatinya. Dia kini jauh dari sinaran gaya hidup seorang Islam.

             Suasana yang hening itu tiba-tiba menjadi suram. Langit bertukar menjadi gelap dengan begitu pantas. Guruh sabung-menyabung. Dentuman petir yang dasyat membuatkan mereka semua jatuh terjelopok. Air laut bergelora dengan rakus. Masing-masing cuba menyelamatkan diri sendiri.

Shira yang terduduk cuba menggapai apa sahaja yang mampu untuk mengimbangi tubuhnya. Dia berjaya untuk berdiri. Niatnya ingin membantu rakan-rakannya tetapi dia tidak berdaya. Gelombang ombak yang kuat menghempas kapal mewah itu membuatkannya terjatuh kembali.mereka semua tergolek di tepi balkoni kapal itu. Serentak itu, mereka sama-sama memegang tiang penghadang untuk berdiri.

Mereka memandang ke bawah untuk melihat ombak yang membadai. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati bukan ombak yang menyebabkan kapal itu teroleng-oleng, tetapi sekumpulan ikan jerung berbuat demikian. Terdapat lebih tujuh puluh ekor ikan jerung melaga-lagakan tubuhnya di kapal itu. Itu, yang membuatkan kapal teroleng tidak tentu arah.

Dari kejauhan kelihatan sebuah bahtera besar yang diperbuat daripada kayu. Kelihatan seperti kapal lanun di dalam filem “Pirates of the Carribean”. Masing-masing tercengang tidak terkata. Adakah kapal lanun ini yang diceritakan oleh Alfonso de Albuquerque? Semua persolan itu berlegar di fikiran.
……………………………………………………………………………………………………………
Kurun ke 15

Yusuf berdiri di halaman rumah. Dia bersiap-siap menyarung capalnya untuk pergi menunaikan solat Zuhur di surau. Dengan lafaz basmalah, dia segera memulakan langkah.

Shira hanya memerhatikan lelaki berwajah bersih itu daripada tingkap biliknya. Lokasi suraunya tidak pula diketahui oleh Shira. Manakan tidak, menjejakkan kaki keluar pun belum pernah. Tambahan pula, dia kini tidak tahu dimana dia berada sekarang.

Mak Mah sedang menyapu lantai rumah. Rumah itu tidaklah berhabuk tetapi  sudah menjadi rutinnya menyapu setiap hari. Pekerjaan rutin itu biasanya dilakukan setiap pagi tetapi ditangguhkannya kerana Shira pengsan pagi tadi. Selepas tidak dapat menjawab soalan yang diajukan Yusuf, dia terus rebah.

Shira berjalan keluar daripada bilik perlahan-lahan. Tekaknya terasa kering. Dia ingin mencari air di dapur. Mak Mah yang perasan akan Shira lantas menegurnya.

            “Shira mahu minum? Biar mak cik yang ambilkan” pelawa Mak Mah. Shira hanya tersenyum lalu mengangguk. Mak Mah pergi ke dapur.
Shira memandang sekeliling. Tiada sofa untuk tempat melabuhkan punggungnya. Akhirnya dia duduk bersimpuh di atas lantai.

            ‘Rumah apa ni? Takkan la tiada sofa langsung? Perabot pun tiada’ gumamnya bersendirian.

Bagi seseorang yang berstatus anak jutawan, dia langsung tidak menyukai keadaan seperti ini. Tetapi, apakan daya, dia hanya menumpang. Nasib baiklah ada seorang insan yang berhati mulia membawanya pulang ke rumah ini. Kalau tidak, mesti dia telah lemas.

            “Jemput minum Shira. Air kosong sahaja.” Pelawa Mak Mah merendah diri. Shira menyambut cawan itu. Dia agak janggal melihat cawan itu kerana ia diperbuat daripada buluh. Dia menilik-nilik sebelum meminumnya. Mak Mah yang melihat ulah gadis berambut ikal mayang itu terus tertawa. Shira mengerutkan wajah.

            “Minum nak. Jangan risau, makcik tidak bubuh racun di dalamnya.” Mak Mah berkata sambil mengurut-ngurut lengannya. Lenguh barangkali menyapu tadi.

            “Tidak, tidak.. Saya tak cakap pun pasal racun. Cuma, cawan buluh ni agak klasik. Macam cerita zaman dahulukala sahaja.” Balasnya sambil tertawa sedikit.

            “Zaman dahulukala? Maksud Shira?” soal Mak Mah kehairanan.

           “Yalah, macam zaman Hang Tuah. Dulu-dulu mana ada pinggan dan cawan jenama Corell. Yang ada inilah, jenama cap buluh” jawabnya selamba. Mak Mah semakin keliru.

            “Shira kenal pada Hang Tuah?” soal Mak Mah.

            “Siapa yang tidak kenal Hang Tuah, makcik. Pahlawan Melayu yang tidak terkalahkan. Tak tahulah betul atau tidak dia tak pernah kalah. Mungkin cerita itu diada-adakan untuk membuktikan kehebatan orang Melayu pada zaman itu.” Jawab Shira pantas.

            “Pada zaman itu? Maksud Shira, sudah ada pahlawan yang bernama Hang Tuah di zaman dahulu? Adakah Datuk Laksamana Hang Tuah yang terkenal dengan pencak silatnya sekarang ini hanya meniru nama Hang Tuah zaman dahulukala semata-mata?” soal Mak Mah bertubi-tubi. Shira membeliakkan biji matanya. Dia terkejut mendengar soalan itu. Dia merasakan Mak Mah mahu mempermainkannya sahaja.

            “Chill out Mak Mah. Tu kan mitos je. Kan saya cakap tadi mungkin cerita itu diada-adakan untuk membuktikan kehebatan orang Melayu pada zaman itu. Jadi, kita tidak perlu nak percaya sangat Makcik.” Jawab Shira semula.

Mak Mah hanya mendiamkan diri. Pada hematnya, Shira masih belum pulih sepenuhnya. Fikirannya menerawang. Siapakah Shira sebenarnya? Dari mana dia berasal? Adakah dari zaman yang berlainan?

Usai solat berjemaah di surau, Yusuf dan Imam Muaz duduk bersila menghadap satu sama lain. Kelihatan raut wajah sugul kebimbangan terbit di wajah imam tua itu. Janggutnya yang putih tersusun rapi itu diusap-usap perlahan. Yusuf menanti butir-butir percakapan imam itu dengan sabar.

            “Yusuf, ada sesuatu hal yang ingin dibicarakan. Malam kelmarin, hamba bermimpi berjumpa dengan seorang gadis muda.” Imam Muaz mula bercerita.

            “Gadis itu berada di persimpangan antara jalan di sebelah kanan atau kiri. Di bahagian kiri terdapat jalan yang amat luas sekali tetapi dipenuhi dengan ular-ular besar serta api yang marak membakar. Di sebelah kanan pula terdapat air terjun yang amat menyegarkan. Terdapat beberapa orang soleh dan solehah sedang menunaikan solat berjemaah. Keadaannya begitu tenang. Dalam pada itu, hamba melihat Yusuf sedang berdiri menunggu si gadis. Berharap si gadis akan melalui jalan di sebelah kanan. Tidak semena-mena, ular besar itu menuju pantas ke arahnya. Si gadis menjerit ketakutan lalu pengsan.” Si Imam bercerita panjang.

            “Kemudian, apa yang berlaku seterusnya Imam Muaz?” soal si Jalak sejurus duduk di sebelah Yusuf. Sebenarnya, dia sudah lama memasang telinga lalu tertarik untuk mendengar cerita selanjutnya. Yusuf menepuk paha Jalak tanda kurang senang dengan adab yang dipamerkan. Imam Muaz hanya tersenyum tanda tidak kisah kerana semua telah tahu tentang adab Jalak yang hiperaktif. Yusuf juga turut tersenyum apabila memahaminya.

            “Melihat gadis itu pengsan, dengan segera Yusuf menghampiri. Ular itu sudah bersiap sedia untuk menelan si gadis. Yusuf menghunuskan senjata lalu bertempurlah dengan ular besar itu. Kemenangan berpihak kepada Yusuf. Lalu dengan segera dibukakan ikatan serbannya lalu dijaadikan pelapik untuk menggendong si gadis.” Cerita Imam Muaz lagi.

            Yusuf memejamkan matanya. Dilafazkan kalimah suci basmallah. Dia cuba untuk mentafsir mimpi Imam Muaz. Jalak hanya memerhatikan perlakuan Yusuf. Dia sudah terbiasa dengan keadaan ini.

Jalak dan Yusuf merupakan sahabat baik sejak kecil lagi. Mereka bersahabat tidak kira di waktu susah atau senang. 10 tahun lepas, mereka merantau ke Gunung Kasturi untuk mempelajari ilmu persilatan. Latihan selama 5 tahun sudah memantapkan ilmu persilatan di dada. Di antara beratus-ratus murid yang datang berguru, Yusuf adalah yang terbaik. Dia mampu menguasai semua teknik persilatan yang diajar oleh Kiai Fateh.

Kiai Fateh merupakan orang yang sangat warak. Beliau mengajar ilmu persilatan dan di samping itu berdakwah menyampaikan ilmu Islam. Beliau pernah berpesan, jangan sesekali meninggalkan solat. Solat itu tiang agama. Jika runtuh tiang, maka runtuhlah agamanya. Beliau juga menasihatkan jangan berniat menunaikan solat semata-mata untuk mendapatkan ilmu silat dengan sempurna. Solatlah kerana Allah s.w.t.

            “Yusuf, gadis yang berada di rumah kamu itu mungkin gadis yang sama hamba mimpikan” Imam Muaz memecah kesunyian. Yusuf membuka kelopak matanya. dia tidak terkejut bagaimana Imam Muaz tahu tentang keberadaan gadis itu. Imam Muaz bukan calang-calang handal orangnya. Ketika mudanya, beliau digeruni kerana berjaya menewaskan serangan orang minyak yang tenaganya sepuluh kali ganda tenaga lelaki. Sekarang, beliau lebih banyak menghabiskan masa di surau untuk berdakwah semenjak pulang dari menunaikan haji 6 tahun lepas.

            “Ya, kita mengerti Tuan Imam. Pada pengamatan hamba, gadis itu bukan berasal dari sini.” Yusuf membalas.

            “Dari tutur katanya, cara berpakaian serta adab yang dipamerkan menerangkan segalanya.” Sambung Yusuf lagi. Imam Muaz hanya mengangguk. Tangannya tidak lekang daripada mengusap janggut putihnya. Jalak yang tidak mengerti tentang perbualan mereka hanya membatu. Cuba mentafsir sendiri.

            “Jika bukan dari sini, dari mana datangnya gadis itu, Yusuf?” soal Imam Muaz. Jalak masih tidak mengerti.

            “Itu yang kita tidak ketahui, Imam Muaz. Tapi, kita akan bertanya kepadanya apabila dia sudah sihat sepenuhnya. Sebenarnya, kita sudah bertanyakan hal ini kepadanya, tapi gadis itu tidak dapat menjawab lalu tiada sedarkan diri.” Jawab Yusuf. Dia  rasa bersalah kerana membuat Shira pengsan semula.

Dari rimbunan pohon-pohon hutan, terdapat empat susuk tubuh sedang memerhatikan mereka bertiga. Yusuf menyedarinya tapi hanya mendiamkan diri terlebih dahulu.

            “Baiklah, jika begitu hamba mohon minta diri dulu. Assalamualaikum” salam suci diajukan kepada Yusuf dan Jalak. Mereka menjawab salam suci itu lalu bersalam-salaman.

Yusuf berjalan bersama Jalak menuju ke rumahnya. Jalak ingin sangat melihat rupa gadis yang disebut-sebut oleh Imam Muaz di surau tadi. Di sepanjang perjalanan, Yusuf menceritakan dari awal pertemuannya dengan Shira yang terdampar di laut sehinggalah gadis itu kembali pengsan apabila tidak dapat berfikir tentang masa lepasnya. Sambil-sambil itu, Yusuf memicing anak telinganya. Dia tahu ada yang mengikuti mereka berdua. Aura jahat dapat dihidu.

            Jalak berhenti berjalan. Dia turut merasakan aura itu. Yusuf turut berhenti.

            “Assalamualaikum wahai hamba Allah yang mengekori kami. Kita tidak mahu bermusuh denganmu. Keluarlah berhadapan dan nyatakan apa kemahuanmu” Yusuf memulakan bicara. Suaranya tenang dan mendatar. Jalak menoleh ke kiri dan ke kanan. Bersiap-siaga.

Maka keluarlah empat lelaki bersusuk tubuh sasa. Di pinggang masing-masing tersisip kemas sebilah keris. Muka mereka membengis melihat Yusuf. Seolah-olah sangat membenci lelaki soleh itu. Yusuf hanya tersenyum. Tidak terlihat riak ketakutan di wajahnya. Dia berzikir di dalam hati. Memohon perlindungan daripada Allah s.w.t.

            “Apa yang tuan hamba semua mahu? Katakanlah.” Yusuf memecah kesunyian. Tutur katanya tetap lembut. Jalak berdiri teguh di sebelah Yusuf. Memandang keempat-emapt manusia dihadapnnya penuh curiga.

            “Berikan kami gadis itu jika kalian tidak mahu dibunuh.” Jawab salah seorang daripada mereka. Badannya lebih besar dan tinggi berbanding dengan yang lain. Mungkin dialah ketua mereka bertiga.

            “Gadis mana yang tuan hamba maksudkan?” Yusuf cuba bermain kata-kata dengan mereka.

            “Jangan banyak bicara! Serahkan saja, masalah hilang. Atau, memang kalian mahu kami habisi?” jawabnya kasar. Jalak seperti sudah hilang sabar. Dia mahu melangkah ke hadapan tetapi dihalang Yusuf dengan meletakkan tangannya di bahu Jalak.

            “Sabar Jalak. Jangan mudah terpedaya dengan bisikan syaitan yang mahu kita sentiasa bertelagah sesama manusia.” Yusuf menenangkan Jalak. Jalak akuinya.

            “Gadis itu sahabat kita. Jadi, kita tidak akan menyerahkan sewenang-wenangnya kepada tuan hamba berempat. Boleh tuan hamba katakan apa tujuannya mengambil gadis itu?” Yusuf bertanya lagi.

            “Dia kepunyaan raja kami. Kami diutuskan untuk membawanya kepada raja kami walau terpaksa menumpahkan darah. Jadi, kalian jangan banyak bicara. Jika tidak…” katanya sambil menghunuskan keris. Melihatkan itu, tiga lagi sahabatnya turut menghunuskan keris.

            “Raja? Siapa raja tuan hamba berempat? Dari negeri mana datangnya?” Jalak pula yang bersuara.

            “Kami menggelarnya Raja Sular. Dia raja kami. Kami datangnya daripada Pulau Merah. Sudah! Jangan banyak bicara lagi. Kamu bertiga, habisi mereka sekarang!” arahnya kepada tiga pengikutnya. Mereka tersenyum sumbing lalu berlari pantas ke arah Yusuf dan Jalak. Yusuf dan Jalak tidak berganjak sedikitpun. Kaki mereka seolah-olah terpasak kukuh di tanah.

Apabila jarak lelaki pertama hampir tiga hasta jaraknya, Jalak terus melompat separas dada lalu berpusing kehadapan. Dihayunkan kakinya tepat mengenai dada lelaki itu. Jauh terpelanting ke belakang. Belum sempat Jalak menjejakkan kakinya ke tanah, ditujukan pula tumbukan tangan kanannya tepat ke perut lelaki kedua. Maka, jatuh terjelupoklah lelaki kedua itu di hadapan lelaki pertama.

Lelaki ketiga pula menghampiri. Lariannya deras. Jalak sudah menjejakkan kakinya di tanah. Apabila musuh sudah hampir, dia hanya mengelak terjahan keras keris yang diajukan padanya. Pada masa yang sama, kakinya membentes kaki musuh ketiga itu lalu terkocoh-kocohlah dia cuba mengimbangkan badannya. Yusuf berada tidak jauh dari lelaki ketiga itu. Belum sempat dia dapat mengimbangi tubuhnya, Yusuf pula yang membentes. Maka, jatuhlah lelaki ketiga itu. Jalak yang melihat perbuatan Yusuf terus tertawa. Tidak sangka Yusuf akan berbuat demikian.

            Melihatkan itu, lelaki yang berbadan lebih besar dan sasa menjadi semakin marah. Dia merasakan anak-anak buahnya tidak berguna. Yusuf memandang lelaki berbadan besar itu.

Pada ketika itu, lelaki ketiga sudah bangkit semula. Marahnya bukan main terhadap Yusuf. Dia berlari lalu melompat sambil menggenggam penumbuknya. Dia hendak tujukan penumbuknya sekuat hati ke arah tulang belakang Yusuf.

Yusuf dapat merasakan pergerakan menentang arah angin dari belakangnya. Dihentakkan kaki kanannya perlahan ke arah belakang lalu berkecailah tanah-tanah yang dihentaknya. Tanah-tanah itu berpusu-pusu terbang ke arah lelaki ketiga itu. Terpelanting jauh kebelakang menerima serangan tanah bertubi-tubi. Yusuf menyerang tanpa menoleh kebelakang. Matanya masih memandang lelaki berbadan besar itu.

Lelaki berbadan besar mengangkat keris menutupi hidungnya. Dari jauh kelihatan mulutnya terkumat-kamit membaca mentera. Mata hitamnya hilang berganti menjadi putih. Kerisnya kini berasap. Asap hitam kian menebal sehingga menutupi mukanya. Kemudian, terdengar suaranya menjerit lalu tertawa terbahak-bahak. Dibaling kerisnya tepat menuju ke dahi Yusuf. Tujahan yang kuat serta mata keris yang tajam itu mampu menembusi apa-apa sahaja halangan yang berada di hadapannya.

Yusuf hanya tersenyum. Apabila keris itu sudah berada dekat dengannya, dia hanya menghembus nafasnya menggunakan mulut ke arah keris itu. Keris itu terus hancur lebur dimakan angin. Lelaki berbadan besar itu terkejut bukan kepalang. Terkebil-kebil biji matanya. Dia cuba berlagak tenang walau ketakutan mula menjelma.

“Kalian berdua memang handal. Bolehku tahu siapa namamu?” pujinya sambil tertawa. Menutup ketakutan yang mula merajai hatinya.

“Nama kita Yusuf. Ini sahabatku, Jalak” Yusuf memperkenalkan diri serta sahabatnya.

“Yusuf juga dikenali sebagai Panglima Bayang.” Jalak menambah. Yusuf memandang Jalak tanda tidak setuju digelar sebegitu. Lelaki berbadan besar itu terus terkaku mendengar nama itu. Satu nama yang amat digeruni di Pulau Merah.

Friday, 13 April 2012

Panglima Yusuf- episod 1


Kurun ke 15

Shira menggagahkan dirinya untuk bangkit. Dia kini terlentang memandang langit di tepian pantai. Perlahan-lahan dia cuba bergerak. Dipusingkan badannya supaya tertiarap. Ombak laut semakin bergelora. Semakin lama semakin menarik dirinya kembali ke dalam lautan. Shira yang menyedari keadaan itu terus berusaha untuk merangkak. Tetapi apakan daya, kudratnya terbatas. Dia amat lemah saat ini. Matanya sudah tidak mampu digerakkan lagi. Pada masa yang sama, dia masih lagi sedarkan diri.
“Astaghfirullahal’adzim.” Kedengaran suara seorang lelaki beristighfar panjang. Lelaki itu mengulang ucapan itu sebanyak tiga kali. Shira tidak mampu untuk mengangkat muka. Dirasakan tubuhnya diangkat. Kemudian, dia tidak mendengar apa-apa lagi. Dia kini sudah pengsan.

………………………………………………………………………………………………………

Tahun 2012

Dari kejauhan kelihatan tiga orang gadis bersama seorang lelaki sedang bersembang rancak. Sesekali kedengaran gelak ketawa mereka terburai. Mereka melangkah perlahan menuju ke dalam kapal persiaran mewah itu. Kapal itu bernama Aizzer Cruise.

            “Shira, mana buah hati pengarang jantung kau? Tak ikut sekali ke?” Soal Aina, sahabat baik Shira.

            “Entahlah, siang tadi katanya nak ikut. Tapi, lambat sikit. Dia pergi menjemput Ezad.” Jawab Shira perlahan-lahan. Sesekali dia tertoleh-toleh ke belakang untuk melihat sama ada Hakim sudah tiba atau belum.

            Ya, Hakim bin Suhail. Nama penuh lelaki yang berjaya menambat hati gadisnya. Mereka berkenalan semenjak semester satu lagi. Kali pertama bertentang mata ketika sesi induksi, iaitu program selama seminggu untuk para sisa dan siswi mengenal dunia universiti. Shira mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Pemasaran, manakala Hakim pula mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia.

Walaupun berlainan bidang, tetapi mereka di bawah satu fakulti, iaitu Fakulti Pengurusan Perniagaan. Jadi, mereka akan selalu berjumpa jika terdapat sebarang majilis yang memerlukan para pelajar Fakuti Pengurusan Pelajar hadir. Dari situlah cinta mereka berputik. Dari teman biasa, kepada pasangan yang berjanji untuk sehidup semati. Walaupun mereka tiada sebarang ikatan sah, tetapi mereka selalu sahaja berdua kemana-mana sahaja. Sehinggakan mereka mendapat jolokan Romeo and Juliet di kampus mereka.

            “Ehem, ehem !” Syamil berdehem. “Hai, baru sebut nama si pengarang jantung dah berangan jauh cik akak?” Sambungnya lagi. Shira menoleh lalu mencubit lengan kanan Syamil. Syamil mengaduh kesakitan. Aina dan Dira tertawa melihat ulah Syamil yang menggelitik kesakitan.

            “Aduh, sakit tangan mak nyah!” Marahnya kepada Shira. Shira hanya tertawa mendengarnya. Dia mencubit lengan tangan kiri Syamil pula lalu melarikan diri. Syamil terus mengejar Shira sambil tertawa. Marahnya hilang melihat tawa riang gadis itu.
Dari jauh kedengaran deruman enjin kereta Satria Neo. Dira yang menyedari terus menjerit ke arah Shira yang masih lagi berkejaran dengan Syamil.

“Oh my god, tengok siapa yang datang tu. Prince Charming. Kacaknya!” Jerit Dira. Shira terus berhenti berlari dan menoleh ke belakang. Lelaki yang dicintainya telah selamat tiba. Dia terus tersenyum lebar. Hakim dan Ezad berlari-lari anak mendapatkan mereka.

            “Hai semua. Dah lama tunggu? Maaflah terlambat sebab Ezad  bersolek lama sangat tadi” sapa Hakim kepada mereka berempat apabila sudah hampir dengan mereka. Sapanya membuatkan tawa mereka berderai.

            “Amboi, aku juga yang kena? Bukan ‘Syamila’ ke yang pandai bersolek?” Balas Ezad sambil mengenyitkan mata kepada Syamil. Syamil menjegilkan biji matanya.

            “Hei, bersolek-solek I pun datang cepat tau. On time. You all berdua dah lah lambat, lagi mahu sindir I pula.”Syamil mempertahankan diri. Keadaan seemakin gamat dengan ledakan tawa mereka berenam.

Syamil seorang lelaki yang berperwatakan wanita. Rakan-rakan menggelarnya Syamila Cun kerana dia tidak lekang dengan bedak muka bercermin di tangannya. Setiap masa hendak dibedakkan mukanya. Pada mulanya dia marah juga digelar sedemikian, tetapi lama-kelamaan dia sudah tidak marah malah terbiasa dengannya.

            “Mari kita ke masuk dalam kapal, dah lambat n.i” Ajak Aina apabila tawanya telah reda. Mereka semua mengiyakan lalu berjalan bersama-sama menuju ke kapal. Ketika berjalan, Hakim dengan pantas memegang tangan Shira lalu mereka berjalan berpimpinan. Shira hanya tersenyum manja. Bangga apabila berpimpinan tangan dengan jejaka kacak itu. Si Ezad pula terus mendekati Dira lalu mendakap bahu kanannya. Dira turut sama tersenyum seperti Shira, bangga dengan perlakuan teman lelakinya.

Perkara ini biasa mereka lakukan di mana-mana. Bukan mereka sahaja, malah majoriti anak-anak muda yang bercinta akan berkelakuan seperti itu. Inilah yang digambarkan oleh Rasullulah s.a.w. bahawa umat akhir zaman akan kembali seperti zaman jahiliah. Lihatlah disekeliling. Kes-kes pembuangan bayi sering sahaja dilaporkan di media massa. Akhlak seorang muslim dan muslimah pada zaman ini kian punah.

………………………………………………………………………………………………………

Kurun ke 15

Shira membuka kelopak matanya. Kepalanya terasa pusing. Dipicit-picit dahinya berulang kali. Dapat dirasakan sedikit benjol di dahinya. Diperhatikan keadaan sekeliling. Dia berusaha untuk duduk. Setelah berjaya, ditoleh kiri dan kanannya. Keadaan di dalam bilik itu kelihatan sangat tersusun dan kemas. Didongakkan kepalanya. Atap rumah itu diperbuat daripada rumbia. Tikar yang dibaringnya adalah tikar mengkuang. Di tiang bilik itu kelihatan lampu pelita yang telah dipadamkan.

            “Aku kat mana ni?” Soalan pertama yang berlegar di mindanya. Dia memisat-misat matanya. Kemudian dia berdiri. Terasa tubuhnya sengal-sengal. Dibuat regangan otot bagi menyegarkan tubuh supaya darah dapat mengalir dengan baik. Dibelek-belek pula tubuhnya.

            “Baju siapa yang aku pakai? Siapa yang tukarkan pakaian aku?” Soalnya di dalam hati. Otaknya ligat berfikir sehinggalah dia teringatkan seorang suara seorang lelaki yang beristighfar. Lelaki itulah yang telah mendukungnya.

            “Mungkin, lelaki itu agaknya yang tukarkan baju aku. Kurang ajar!” Shira bersangka buruk. Hatinya mendidih kala ini. Manakan tidak, sedang dirinya dalam kesusahan, lelaki itu mengambil kesempatan terhadap dirinya.

            “Aku mesti keluar dari rumah ini” tekadnya.

 Dia keluar dari bilik itu dan matanya melilau mencari pintu keluar. Pintu utama tidak bertutup. Dia menghampiri pintu itu. Tiba-tiba dia terdengar derapan langkah yang tersusun menuju ke rumah itu. Degup jantungnya berdetak hebat. Dia panik saat itu. Kemudian dia terlihat sebatang kayu di tepi pintu. Kayu itu digunakan sebagai penyendal. Digenggam kayu itu seeratnya. Rancangan yang bermain di mindanya adalah memukul kepala manusia yang sedang menghampiri rumah itu sekuatnya lalu terus berlari menyelamatkan diri. Derapan itu berhenti.

            “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.” Salam suci dilafazkan. Entah mengapa, Shira terpegun sejenak mendengar kelunakan suara pemberi salam suci tersebut. Jantungnya yang berdegup kencang kian tenang. Tapi, dia tetap dengan rancangannya.

            Lelaki itu terus melangkah masuk apabila salam sucinya kali ketiga  tidak bersambut. Shira yang berada di tepi pintu lantas terus menghayun kayu itu sekuat hatinya ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu sempat tersenyum lalu menggerakkan tubuh sasanya ke kanan sedikit. Pukulan itu tersasar. Hayunan yang kuat itu membuatkan Shira jatuh mengikut hayunan kayu tersebut. Cepat-cepat dia berdiri semula.

            “Siapa kau? Kenapa kau kurung aku kat sini?” Jerit Shira lantang. Lelaki itu hanya tersenyum dan beristighfar perlahan. Shira terpaku tatkala mendengar lelaki itu beristighfar. Ya, suara inilah yang didengarnya sebelum dia pengsan! Tapi, hatinya masih marah.

            “Nama hamba Yusuf. Kita tidak mengurung tuan hamba. Ini adalah rumah kita.” Jawab Yusuf berhemah.

            “Tak payah nak bertuan hamba sangatlah dengan aku. Ni, baju ni kau yang tukarkan, bukan? Kau memang sengaja ambil kesempatan!” sambung Shira lagi. Dia masih tidak dapat menerima perbuatan lelaki itu.

            “Maaf tuan hamba. Persalinan yang tuan hamba sarung itu bukan kita yang tukarkan. Sesungguhnya haram hukumnya seorang lelaki mahupun perempuan melihat aurat satu sama lain” Yusuf membela diri. Tuturnya tetap lembut walaupun dia dimarahi Shira.

            “Tak payah nak ustadz sangat la. Dasar lelaki…” ayatnya terhenti apabila terdengar suara wanita separuh abad memberi salam.

Salam suci itu disambut pantas oleh Yusuf. Apabila wanita tua itu melangkah masuk, Yusuf terus mengucup tangan orang tua itu. Shira semakin hairan dengan situasi yang berlaku.

            ‘Kenapa baik sangat orang ni?’ hatinya bergumam. Semakin lama semakin sukar untuk dihuraikan perkara yang berlaku. Bermula dengan pengsan di tepi laut. Kemudian diselamatkan lelaki yang dianggap jahat tetapi berakhlak mulia, diikuti dengan rumah yang sangat klasik seperti rumah dalam cerita Hang Tuah dan seterusnya sekarang, terdapat seorang wanita tua yang tampak ramah. Apa yang berlaku sebenarnya?

            “Anak sudah sedar dari tidur? Bagaimana, masih sakit lagi kepalanya?” Soal wanita tua itu ramah. Shira mati akal.

            “Wait a minute. What is really happen here? Please, somebody tell me. I’m seriously confused right now” soal Shira dalam bahasa Inggeris.

Yusuf dan ibunya kelihatan bingung dengan bahasa yang dituturkan Shira. Mereka tidak faham sepatahpun daripadanya. Melihatkan itu, Shira mencekak pinggangnya.

            “Hello, I’m waiting. Please, could any one of you answer me?” Sambung Shira lagi.
Suasana menjadi sunyi seketika. Masing-masing tidak memahami situasi yang berlaku. Yusuf memandang ibunya, Ibunya memandang Shira. Shira memandang kedua-dua manusia yang dirasakan aneh dihadapannya.

            “Sesuai baju itu dengan anak. Itu baju adik perempuan Yusuf, Hawa. Mak cik yang tukarkan kelmarin sebab pakaian anak basah.” ibu Yusuf memecah kesunyian. Shira yang mendengar kata-kata itu terus menundukkan mukanya. Bermakna, dia telah salah mentafsir peribadi Yusuf.

            ‘Malunya aku. Itulah, lain kali jangan tuduh sembarangan, Shira’ hatinya berkata-kata. Dia menjeling Yusuf. Yusuf hanya tersenyum, tidak menunjukkan riak marah kepadanya walaupun dia telah memarahi Yusuf tanpa usul periksa. Jelingannya dimatikan. Dia terus memandang ibu Yusuf.

            “Err, jadi bukan kau, eh, awak yang tukarkan baju saya?” Shira tergagap-gagap menuturkan kata-kata. Kata ganti diri kedua “kau” telah bertukar menjadi “awak”. Yusuf hanya menggeleng. Ibu Yusuf tertawa perlahan. Shira jadi malu sendiri.

            “Nama mak cik Saimah. Panggil saja Mak Mah. Orang kampung turut memanggil sedemikian.” Mak Mah memperkenalkan diri.

            “Nama saya Shahira. Panggil Shira sudah mencukupi” balasnya sambil menghulurkan tangan. Disalamnya orang tua itu tapi tidak dikucupnya. Seperti bersalaman dengan orang yang sebaya dengannya. Walaupun perbuatan itu tidak beradap, namun Mak Mah masih menguntumkan senyuman.

Yusuf sedari tadi hanya memerhatikan tingkah laku Shira. Dia ligat berfikir dari mana asalnya gadis itu. Pastinya, tidak mungkin orang yang berdekatan dengan kampungnya. Cara percakapan serta adabnya sungguh jauh berbanding dengan orang tempatan.

            “Maaf, kita ada satu persoalan. Tuan hamba datangnya dari mana?” Soal Yusuf. Shira segera memandang Yusuf. Otaknya ligat berfikir. Ya, dia dari mana? Dia sendiri tidak mengetahuinya. Dia hanya mengingati namanya sahaja. Dia teruskan juga berfikir sehingga kepalanya sakit. Otaknya terasa berdenyut-denyut. Yusuf dan ibunya terkejut melihat Shira yang tidak semena-mena terduduk sambil memegang kepalanya. Dia tidak mampu untuk mengingati perkara-perkara lepas kecuali namanya sahaja. Dia pengsan.

BERSAMBUNG