Friday, 13 April 2012

Panglima Yusuf- episod 1


Kurun ke 15

Shira menggagahkan dirinya untuk bangkit. Dia kini terlentang memandang langit di tepian pantai. Perlahan-lahan dia cuba bergerak. Dipusingkan badannya supaya tertiarap. Ombak laut semakin bergelora. Semakin lama semakin menarik dirinya kembali ke dalam lautan. Shira yang menyedari keadaan itu terus berusaha untuk merangkak. Tetapi apakan daya, kudratnya terbatas. Dia amat lemah saat ini. Matanya sudah tidak mampu digerakkan lagi. Pada masa yang sama, dia masih lagi sedarkan diri.
“Astaghfirullahal’adzim.” Kedengaran suara seorang lelaki beristighfar panjang. Lelaki itu mengulang ucapan itu sebanyak tiga kali. Shira tidak mampu untuk mengangkat muka. Dirasakan tubuhnya diangkat. Kemudian, dia tidak mendengar apa-apa lagi. Dia kini sudah pengsan.

………………………………………………………………………………………………………

Tahun 2012

Dari kejauhan kelihatan tiga orang gadis bersama seorang lelaki sedang bersembang rancak. Sesekali kedengaran gelak ketawa mereka terburai. Mereka melangkah perlahan menuju ke dalam kapal persiaran mewah itu. Kapal itu bernama Aizzer Cruise.

            “Shira, mana buah hati pengarang jantung kau? Tak ikut sekali ke?” Soal Aina, sahabat baik Shira.

            “Entahlah, siang tadi katanya nak ikut. Tapi, lambat sikit. Dia pergi menjemput Ezad.” Jawab Shira perlahan-lahan. Sesekali dia tertoleh-toleh ke belakang untuk melihat sama ada Hakim sudah tiba atau belum.

            Ya, Hakim bin Suhail. Nama penuh lelaki yang berjaya menambat hati gadisnya. Mereka berkenalan semenjak semester satu lagi. Kali pertama bertentang mata ketika sesi induksi, iaitu program selama seminggu untuk para sisa dan siswi mengenal dunia universiti. Shira mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Pemasaran, manakala Hakim pula mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia.

Walaupun berlainan bidang, tetapi mereka di bawah satu fakulti, iaitu Fakulti Pengurusan Perniagaan. Jadi, mereka akan selalu berjumpa jika terdapat sebarang majilis yang memerlukan para pelajar Fakuti Pengurusan Pelajar hadir. Dari situlah cinta mereka berputik. Dari teman biasa, kepada pasangan yang berjanji untuk sehidup semati. Walaupun mereka tiada sebarang ikatan sah, tetapi mereka selalu sahaja berdua kemana-mana sahaja. Sehinggakan mereka mendapat jolokan Romeo and Juliet di kampus mereka.

            “Ehem, ehem !” Syamil berdehem. “Hai, baru sebut nama si pengarang jantung dah berangan jauh cik akak?” Sambungnya lagi. Shira menoleh lalu mencubit lengan kanan Syamil. Syamil mengaduh kesakitan. Aina dan Dira tertawa melihat ulah Syamil yang menggelitik kesakitan.

            “Aduh, sakit tangan mak nyah!” Marahnya kepada Shira. Shira hanya tertawa mendengarnya. Dia mencubit lengan tangan kiri Syamil pula lalu melarikan diri. Syamil terus mengejar Shira sambil tertawa. Marahnya hilang melihat tawa riang gadis itu.
Dari jauh kedengaran deruman enjin kereta Satria Neo. Dira yang menyedari terus menjerit ke arah Shira yang masih lagi berkejaran dengan Syamil.

“Oh my god, tengok siapa yang datang tu. Prince Charming. Kacaknya!” Jerit Dira. Shira terus berhenti berlari dan menoleh ke belakang. Lelaki yang dicintainya telah selamat tiba. Dia terus tersenyum lebar. Hakim dan Ezad berlari-lari anak mendapatkan mereka.

            “Hai semua. Dah lama tunggu? Maaflah terlambat sebab Ezad  bersolek lama sangat tadi” sapa Hakim kepada mereka berempat apabila sudah hampir dengan mereka. Sapanya membuatkan tawa mereka berderai.

            “Amboi, aku juga yang kena? Bukan ‘Syamila’ ke yang pandai bersolek?” Balas Ezad sambil mengenyitkan mata kepada Syamil. Syamil menjegilkan biji matanya.

            “Hei, bersolek-solek I pun datang cepat tau. On time. You all berdua dah lah lambat, lagi mahu sindir I pula.”Syamil mempertahankan diri. Keadaan seemakin gamat dengan ledakan tawa mereka berenam.

Syamil seorang lelaki yang berperwatakan wanita. Rakan-rakan menggelarnya Syamila Cun kerana dia tidak lekang dengan bedak muka bercermin di tangannya. Setiap masa hendak dibedakkan mukanya. Pada mulanya dia marah juga digelar sedemikian, tetapi lama-kelamaan dia sudah tidak marah malah terbiasa dengannya.

            “Mari kita ke masuk dalam kapal, dah lambat n.i” Ajak Aina apabila tawanya telah reda. Mereka semua mengiyakan lalu berjalan bersama-sama menuju ke kapal. Ketika berjalan, Hakim dengan pantas memegang tangan Shira lalu mereka berjalan berpimpinan. Shira hanya tersenyum manja. Bangga apabila berpimpinan tangan dengan jejaka kacak itu. Si Ezad pula terus mendekati Dira lalu mendakap bahu kanannya. Dira turut sama tersenyum seperti Shira, bangga dengan perlakuan teman lelakinya.

Perkara ini biasa mereka lakukan di mana-mana. Bukan mereka sahaja, malah majoriti anak-anak muda yang bercinta akan berkelakuan seperti itu. Inilah yang digambarkan oleh Rasullulah s.a.w. bahawa umat akhir zaman akan kembali seperti zaman jahiliah. Lihatlah disekeliling. Kes-kes pembuangan bayi sering sahaja dilaporkan di media massa. Akhlak seorang muslim dan muslimah pada zaman ini kian punah.

………………………………………………………………………………………………………

Kurun ke 15

Shira membuka kelopak matanya. Kepalanya terasa pusing. Dipicit-picit dahinya berulang kali. Dapat dirasakan sedikit benjol di dahinya. Diperhatikan keadaan sekeliling. Dia berusaha untuk duduk. Setelah berjaya, ditoleh kiri dan kanannya. Keadaan di dalam bilik itu kelihatan sangat tersusun dan kemas. Didongakkan kepalanya. Atap rumah itu diperbuat daripada rumbia. Tikar yang dibaringnya adalah tikar mengkuang. Di tiang bilik itu kelihatan lampu pelita yang telah dipadamkan.

            “Aku kat mana ni?” Soalan pertama yang berlegar di mindanya. Dia memisat-misat matanya. Kemudian dia berdiri. Terasa tubuhnya sengal-sengal. Dibuat regangan otot bagi menyegarkan tubuh supaya darah dapat mengalir dengan baik. Dibelek-belek pula tubuhnya.

            “Baju siapa yang aku pakai? Siapa yang tukarkan pakaian aku?” Soalnya di dalam hati. Otaknya ligat berfikir sehinggalah dia teringatkan seorang suara seorang lelaki yang beristighfar. Lelaki itulah yang telah mendukungnya.

            “Mungkin, lelaki itu agaknya yang tukarkan baju aku. Kurang ajar!” Shira bersangka buruk. Hatinya mendidih kala ini. Manakan tidak, sedang dirinya dalam kesusahan, lelaki itu mengambil kesempatan terhadap dirinya.

            “Aku mesti keluar dari rumah ini” tekadnya.

 Dia keluar dari bilik itu dan matanya melilau mencari pintu keluar. Pintu utama tidak bertutup. Dia menghampiri pintu itu. Tiba-tiba dia terdengar derapan langkah yang tersusun menuju ke rumah itu. Degup jantungnya berdetak hebat. Dia panik saat itu. Kemudian dia terlihat sebatang kayu di tepi pintu. Kayu itu digunakan sebagai penyendal. Digenggam kayu itu seeratnya. Rancangan yang bermain di mindanya adalah memukul kepala manusia yang sedang menghampiri rumah itu sekuatnya lalu terus berlari menyelamatkan diri. Derapan itu berhenti.

            “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.” Salam suci dilafazkan. Entah mengapa, Shira terpegun sejenak mendengar kelunakan suara pemberi salam suci tersebut. Jantungnya yang berdegup kencang kian tenang. Tapi, dia tetap dengan rancangannya.

            Lelaki itu terus melangkah masuk apabila salam sucinya kali ketiga  tidak bersambut. Shira yang berada di tepi pintu lantas terus menghayun kayu itu sekuat hatinya ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu sempat tersenyum lalu menggerakkan tubuh sasanya ke kanan sedikit. Pukulan itu tersasar. Hayunan yang kuat itu membuatkan Shira jatuh mengikut hayunan kayu tersebut. Cepat-cepat dia berdiri semula.

            “Siapa kau? Kenapa kau kurung aku kat sini?” Jerit Shira lantang. Lelaki itu hanya tersenyum dan beristighfar perlahan. Shira terpaku tatkala mendengar lelaki itu beristighfar. Ya, suara inilah yang didengarnya sebelum dia pengsan! Tapi, hatinya masih marah.

            “Nama hamba Yusuf. Kita tidak mengurung tuan hamba. Ini adalah rumah kita.” Jawab Yusuf berhemah.

            “Tak payah nak bertuan hamba sangatlah dengan aku. Ni, baju ni kau yang tukarkan, bukan? Kau memang sengaja ambil kesempatan!” sambung Shira lagi. Dia masih tidak dapat menerima perbuatan lelaki itu.

            “Maaf tuan hamba. Persalinan yang tuan hamba sarung itu bukan kita yang tukarkan. Sesungguhnya haram hukumnya seorang lelaki mahupun perempuan melihat aurat satu sama lain” Yusuf membela diri. Tuturnya tetap lembut walaupun dia dimarahi Shira.

            “Tak payah nak ustadz sangat la. Dasar lelaki…” ayatnya terhenti apabila terdengar suara wanita separuh abad memberi salam.

Salam suci itu disambut pantas oleh Yusuf. Apabila wanita tua itu melangkah masuk, Yusuf terus mengucup tangan orang tua itu. Shira semakin hairan dengan situasi yang berlaku.

            ‘Kenapa baik sangat orang ni?’ hatinya bergumam. Semakin lama semakin sukar untuk dihuraikan perkara yang berlaku. Bermula dengan pengsan di tepi laut. Kemudian diselamatkan lelaki yang dianggap jahat tetapi berakhlak mulia, diikuti dengan rumah yang sangat klasik seperti rumah dalam cerita Hang Tuah dan seterusnya sekarang, terdapat seorang wanita tua yang tampak ramah. Apa yang berlaku sebenarnya?

            “Anak sudah sedar dari tidur? Bagaimana, masih sakit lagi kepalanya?” Soal wanita tua itu ramah. Shira mati akal.

            “Wait a minute. What is really happen here? Please, somebody tell me. I’m seriously confused right now” soal Shira dalam bahasa Inggeris.

Yusuf dan ibunya kelihatan bingung dengan bahasa yang dituturkan Shira. Mereka tidak faham sepatahpun daripadanya. Melihatkan itu, Shira mencekak pinggangnya.

            “Hello, I’m waiting. Please, could any one of you answer me?” Sambung Shira lagi.
Suasana menjadi sunyi seketika. Masing-masing tidak memahami situasi yang berlaku. Yusuf memandang ibunya, Ibunya memandang Shira. Shira memandang kedua-dua manusia yang dirasakan aneh dihadapannya.

            “Sesuai baju itu dengan anak. Itu baju adik perempuan Yusuf, Hawa. Mak cik yang tukarkan kelmarin sebab pakaian anak basah.” ibu Yusuf memecah kesunyian. Shira yang mendengar kata-kata itu terus menundukkan mukanya. Bermakna, dia telah salah mentafsir peribadi Yusuf.

            ‘Malunya aku. Itulah, lain kali jangan tuduh sembarangan, Shira’ hatinya berkata-kata. Dia menjeling Yusuf. Yusuf hanya tersenyum, tidak menunjukkan riak marah kepadanya walaupun dia telah memarahi Yusuf tanpa usul periksa. Jelingannya dimatikan. Dia terus memandang ibu Yusuf.

            “Err, jadi bukan kau, eh, awak yang tukarkan baju saya?” Shira tergagap-gagap menuturkan kata-kata. Kata ganti diri kedua “kau” telah bertukar menjadi “awak”. Yusuf hanya menggeleng. Ibu Yusuf tertawa perlahan. Shira jadi malu sendiri.

            “Nama mak cik Saimah. Panggil saja Mak Mah. Orang kampung turut memanggil sedemikian.” Mak Mah memperkenalkan diri.

            “Nama saya Shahira. Panggil Shira sudah mencukupi” balasnya sambil menghulurkan tangan. Disalamnya orang tua itu tapi tidak dikucupnya. Seperti bersalaman dengan orang yang sebaya dengannya. Walaupun perbuatan itu tidak beradap, namun Mak Mah masih menguntumkan senyuman.

Yusuf sedari tadi hanya memerhatikan tingkah laku Shira. Dia ligat berfikir dari mana asalnya gadis itu. Pastinya, tidak mungkin orang yang berdekatan dengan kampungnya. Cara percakapan serta adabnya sungguh jauh berbanding dengan orang tempatan.

            “Maaf, kita ada satu persoalan. Tuan hamba datangnya dari mana?” Soal Yusuf. Shira segera memandang Yusuf. Otaknya ligat berfikir. Ya, dia dari mana? Dia sendiri tidak mengetahuinya. Dia hanya mengingati namanya sahaja. Dia teruskan juga berfikir sehingga kepalanya sakit. Otaknya terasa berdenyut-denyut. Yusuf dan ibunya terkejut melihat Shira yang tidak semena-mena terduduk sambil memegang kepalanya. Dia tidak mampu untuk mengingati perkara-perkara lepas kecuali namanya sahaja. Dia pengsan.

BERSAMBUNG

No comments:

Post a Comment