Friday, 4 May 2012

episode 3


Tahun 2012

Mereka semua berlari berpusu-pusu masuk ke dalam perut kapal. Di dalam kapal, mereka berusaha mencari kapten. Keadaan sangat kucar-kacir saat itu. Ada diantara penumpang yang sedang menangis, menjerit dan salah seorang daripad mereka hanya duduk di satu sudut sambil tangannya tidak lepas daripada tasbih. Dia kelihatan tenang. Hentakan yang kuat daripada puluhan ikan jerung itu seakan-akan tidak memberi kesan terhadap konsentrasinya.

            “Kapten, kami nampak sebuah kapal lanun di hadapan. Kapal itu menuju ke arah kita.” Kata Hakim sebaik sahaja dapat berjumpa dengan kapten Aizzer Cruise. Dia dapat mencari kapten itu setelah diberitahu lokasinya oleh krew kapal. “Kapten Razak” nama yang tertera di tag nama atas kocek uniform bajunya.

            “Kapal lanun?” Soal Kapten Razak kembali. Selama dia bertugas sebagai kapten kapal Aizzen Cruise ini, dia tidak pernah lagi menerima aduan seperti itu daripada penumpangnya.

            “Ya, kapal lanun tuan. Kapal itu sama macam dalam filem “Pirates if the Carribean!”. Memang sebijik tuan.” Tambah Ezad pula.

            “Kamu semua jangan bergurau. Ini melibatkan keselamatan semua isi kapal. Mari kita pergi ke bilik kawalan. Tunjukkan saya mana kapal Jack Sparrow tu.” Katanya menyindir. Kurang mempercayai kata-kata mahasiswa dan mahasiswi itu.

            “Baiklah. Mari kami tunjukkan.” Hakim setuju dengan pelawaan Kapten Razak. Keadaan kapal yang terhuyung-hayang itu menyukarkan pergerakan mereka. Kadangkala, mereka terpaksa merangkak kerana kapal seakan-akan hendak terbalik. Sampai sahaja di bilik kawalan, Aina terus berkata.

            “Kuat betul ikan-ikan jerung menghempas kapal ini.”

            “Betul tu. Seram I tengok tadi. Sumpah menggigi.l” Syamil mengiyakan sambil memeluk tubuhnya. Kapten Razak menoleh ke arah mereka berdua.

            “Don’t talk rubbish. Mana ada ikan jerung di perairan ini.” Kapten Razak menafikan.

        “Kapten, betul kapten. Kami sendiri nampak dengan biji mata kami sendiri. Memang betul. Terdapat berpuluh-puluh ekor ikan jerung dewasa menghempas badan mereka ke badan kapal ini.” Shira menyokong kata-kata rakannya.

            “Mula-mula Pirates of the Carribean, lepas tu ikan jerung berpuluh-puluh ekor pula yang menghempas kapal ini? Nak massukkan cerita Jaws sekali ke?” Kapten Razak masih menyangkal. Senyumannya sumbing.

            “Okey, okey. Kapten tak percaya kan? Jom kita tengok radar tu. Mesti mesin tu dapat kesan kapal yang berada di sekitar.” Hakim bersuara. Kapten Razak mengangguk.
Mereka semua menuju ke mesin radar. Anehnya, ia tidak dapat mengesan sebarang objek di sekitarnya.

            “Mana Jack Sprarrow awak semua?” Tanyanya sambil tersenyum sinis. Masing-masing terdiam. Memang tidak dapat dikesan dengan radar. Tetapi pada hakikatnya, mereka berenam nampak kapal lanun itu dengan jelas sekali. Begitu juga halnya dengan berpuluh-puluh ikan jerung itu. Jika diikutkan, kapal lanun yang kelihatan dari jauh tadi pasti sudah hampir dengan Aizzer Cruise.

            “Apa yang pasti, kami tidak menipu tuan. Memang itu yang kami nampak tadi.” Jawab Ezad. Kapten itu hanya tersengih.

            “Beginilah, saya bukan tidak percaya, cuma cerita kamu semua tidak masuk akal. Baiklah, untuk tidak mengecewakan kamu, mari kita ke luar kapal. Saya nak tengok ikan jerung yang kamu semua maksudkan. Jangan kata saya tak dengar cakap kamu semua.” Kapten Razak cuba bertoleransi. Mereka yang lain mengiyakan.

Mereka kemudiannya membontoti Kapten Razak ke luar dek kapal. Tiba-tiba, kapal yang pada mulanya berolek hebat kembali tenang. Semua tertanya-tanya perkara yang berlaku. Mereka bertujuh termasuk Kapten Razak bergegas ke luar kapal. Apabila melihat ke bawah lautan, tiada seekor jerung pun kelihatan. Keadaan yang amat membingungkan ini disambut tawa kapten muda itu.

            “Okey guys, you got me!” Kapten Razak bersuara seperti mengalah. Disangkanya Shira dan rakan-rakan telah berjaya mengenakannya.

            “Kapten, tolonglah percayakan kami.” Shira mempertahankan dirinya serta rakan-rakannya.

            “Benar, kami tak tipu tuan. Apa yang kami dapat kalau berjaya tipu tuan? Tiada apa.” Aina menyokong Shira. Kapten Razak berpusing membelakangi laut. Dia kini berdiri berhadapan dengan mereka berenam sambil memeluk tubuhnya.

Kedengaran air laut berkocak-kocak ketepian. Seolah-olah  sebuah armada perang sedang membelah lautan. Mereka tercari-cari arah bunyi itu. Kapal yang tadinya tenang kini mula teroleng-oleng. Keadaan menjadi sunyi. Masing-masing menanti dengan penuh debaran.

            “Kapten…” Syamil menghalakan jari telunjuknya ke arah belakang Kapten Razak. Kapten Razak menoleh ke belakang lalu mengucap panjang. Matanya tidak berkelip memandang. Aina jatuh terduduk kerana terkejut.

Di sebelah Aizzer Cruise kini terdapat sebuah kapal besar diperbuat daripada kayu. Kayu-kayunya kelihatan sudah lusuh tetapi masih lagi kukuh. Di dek kapal itu kelihatan beratus-ratus orang lelaki yang gagah perkasa sedang memegang senjata. Ada diantara mereka memegang pedang, tombak dan juga keris. Di sisi kapal yang seakan-akan kepunyaan Jack Sprarrow itu kelihatan tersusun meriam. Jarak antara meriam itu lebih kurang lima kaki. Mereka memang seperti lanun. Ya, mereka memang lanun!

………………………………………………………………………………………………………......

Kurun ke 15

            “Apa benar kamu Panglima Bayang?” Soal lelaki berbadan besar itu. Kakinya menggeletar hebat. Degupan jantungnya pantas menunggu jawapan kepastian daripada lelaki yang sentiasa mengukirkan senyuman itu.

            “Jalak, bukankah kita sudah berpesan supaya jangan disebut nama itu?” Yusuf mengingatkan Jalak. Jalak hanya tergaru-garu kepala lalu memohon maaf. Yusuf menepuk bahu sahabatnya itu tanda memaafkan. Dia kembali melihat lelaki berbadan besar di hadapannya sambil tersenyum.

            “Ya, hamba yang digelar Panglima Bayang.” Mahu tidak mahu Yusuf terpaksa mengakuinya. Berbohong termasuk dalam kategori berdosa besar. Jelas kelihatan lelaki berbadan besar itu menelan liurnya. Dia cuba menyusun kata-kata.

            “Namamu begitu mashyur di negeriku. Kamu telah banyak menumpaskan rakan-rakan seperjuanganku. Tiada seorangpun antara kami mampu menandingimu, Panglima Bayang. Mereka yang terselamat daripada menjadi mangsa tusukan kerismu telah ramai yang berpaling tadah daripada raja kami. Mereka cuba melarikan diri dengan alasan ingin mencari kebenaran hakiki. Persetan semua itu!” ucapnya panjang lebar. Yusuf beristighfar sebanyak tiga kali. Walaupun suaranya berbisik, ia mampu didengari Jalak yang berdiri teguh di sebelahnya.

            “Kembalilah kepada jalan Allah. Bertaubatlah selagi berkesempatan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang. Allahuakbar.” Yusuf cuba berdakwah kepada lelaki pengikut penyembah syaitan itu. Merinding bulu tengkuk lelaki berbadan besar itu tatkala Yusuf mengucapkan kalimah Allahuakbar. Dirasakan kalimah itu menusuk tepat di kalbunya.

            “Tahukah tuan hamba tentang dosa dan pahala? Mereka yang sentiasa berbuat kebajikan, beramal soleh dan melaksanakan semua perintah Allah serta menjauhi larangannya akan dimasukkan ke dalam syurga. Manakala mereka yang banyak berbuat dosa akan dimasukkan ke dalam api neraka. Tempat yang amat pedih azabnya. Salah satu diantara dosa-dosa besar ialah mensyirikkan Allah s.w.t. Mensyirikkan Allah iaitu dengan menduakannya merupakan perbuatan yang menyimpang daripada agama Islam. Tiadalah tuhan selain Allah. Janganlah kita terpengaruh dengan Taghut. Takutlah dengan kemurkaan Allah.” Yusuf menambah.

Kelihatan lelaki berbadan besar itu hanya diam membisu. Di hatinya telah terbit rasa takut kepada Allah. Diimbas kembali dosa-dosanya bermula dengan mensyirikkan Allah, merompak, membunuh, dan banyak lagi kesalahan. Dia mula terbayangkan api neraka? Bagaimana keadaannya? Apa itu syurga? Sesungguhnya dia memang jahil. Terbit perasaan aneh di hatinya. Ya, perasaan ingin tahu lebih lanjut mengenai agama Islam.

            “Aku tidak mahu masuk ke dalam api neraka. Aku banyak berbuat dosa. Adakah tuhan kamu itu akan menerima taubatku?” lelaki berbadan besar itu bertanya. Dia mulai rasa bimbang dan takut dengan kemurkaan Allah.

Yusuf mengucapkan syukur. Jalak turut tersenyum. Kagum dengan kehebatan sahabatnya berdakwah.

            “Alhamdulillah. Apabila terbit rasa takut walaupun sedikit kepada Allah, bermakna hati tuan hamba telah ada benih-benih iman. Allah itu Maha Penerima Taubat. Orang yang bertaubat nasuha pasti akan diampuni Allah s.w.t.” balas Yusuf.

            “Tapi, niatku kemari adalah untuk membunuhmu. Adakah kau tidak marah kepadaku? Bunuh sahajalah aku. Aku mengaku kalah.” Kata lelaki itu sambil melutut. Yusuf lantas berjalan kepada lelaki itu. Lelaki itu pasrah menerima hukuman bunuh.

            “Kita tidak marah kepada tuan hamba. Marah itu bisikan syaitan. Bangunlah.” Yusuf cuba meyakinkannya. Lelaki berbadan besar itu terpinga-pinga. Kenapa tidak menggunakan peluang yang ada untuk menghabisinya?

            “Sahabatku, kini tuan hamba kita lepaskan. Pergilah belayar mencari ilmu tentang Islam. Insyaallah, tuan hamba pasti menemui kebenarannya.” Kata Yusuf kemudian berlalu pergi. Diucapkan salam suci terlebih dahulu sebelum dia berjalan pulang ke rumah. Jalak menurutinya. Lelaki bertubuh besar itu tersenyum lalu menangis semahunya. Malu kerana orang yang ingin dibunuhnya kini melepaskannya apabila dia berpeluang untuk membunuhnya. Timbul rasa ingin tahu yang menebal di sanubarinya. Rasa ingin tahu tentang agama ilahi.

Sampai sahaja di perkarangan rumah, Yusuf terus membasuh kakinya menggunakan air tempayan di tepi rumah. Jalak turut meniru perbuatannya. Selepas salam sucinya bersambut, dia terus masuk ke dalam rumah. Shira masih duduk berbual dengan Mak Mah. Yusuf tersenyum memandang mereka. Shira yang petah berbicara dengan Mak Mah terdiam kaku melihat senyuman lelaki tinggi lampai itu. Pandangan mata mereka bertaut.

            ‘Oh my god, he so cute!’ Gumamnya dalam hati. Hatinya berdegup kencang. Segera dialihkan pandangan matanya daripada Yusuf. Malu menguasai diri.

            “Inikah gadis yang dimaksudkan itu, Yusuf?” Soal Jalak apabila sudah berada di dalam rumah. Dia bertanya sambil matanya tidak lepas memandang gadis berkulit cerah di sebelah Mak Mah. Mak Mah tertawa melihat perbuatan Jalak.

            “Jalak, tidak manis memandang gadis sebegitu sekali.” Tegur Yusuf. Nadanya tetap menyenangkan sekalipun menegur sesuatu perbuatan yang salah. Itulah sifat lelaki yang digelar Panglima Bayang.

            “Maaf, hamba minta maaf.” Jalak meminta maaf. Dialihkan pandangannya kepada Mak Mah kemudian kepada Yusuf. Suasana sunyi seketika.

            “Eh, kenapa semua orang diam ni? Apa salahnya dia tengok saya? Saya okey je.” Shira memecah kesunyian. Mereka semua memandang Shira. Shira menjadi kaget.

            “Hello, don’t look at me like that guys. You freaking me out.” Shira tidak selesa. Jalak terpinga-pinga mendengar pertuturan Shira. Mak Mah dan Yusuf yang telah mengalami pengalaman ini hanya tertawa melihat perubahan muka Jalak.

            “Maaf saudari, hamba ingin bertanya. Bahasa apa yang tuan hamba tuturkan sebentar tadi? Rasanya tiadalah pernah hamba mendengarnya sebelum ini.” Jalak bertanya. Dahinya berkerut.

            “Ish, tak payahlah bersaudari dan tuan hamba sangat dengan saya. Kelakarlah. Panggil je Shira. Shira bangun lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Memang itu kebiasaannya. Jalak lantas menyembunyikan tangan. Shira terpempan.

            “Maaf, Shira. Jalak bukan muhrim tuan hamba. Berdosa hukumnya bersentuhan kulit berlainan jantina dengan sengaja.” Yusuf berkata menerangkan keadaan sebenarnya. Shira akur mendengar penjelasan itu.

            “Hm, okey. By the way, siapa nama awak?” soal Shira kepada lelaki berkumis nipis itu.

          “Nama hamba Jalak.” Balasnya. Shira hampir tersembur tawanya tapi ditahan. Nama Jalak itu seperti nama ayam yang dibela datuknya di kampung. Demi menjaga hati Jalak, Shira cepat-cepat membuang tawanya jauh-jauh. Jalak perasan akan perubahan itu.

            “Mengapa Shira? Ada apa yang tidak kena pada nama hamba?” Jalak menduga. Shira terus menggelengkan kepalanya.

            “Saya belum jawab soalan awak. Soalan awak sama dengan soalan Yusuf tadi pagi.” Shira mengubah topik perbualan. Yusuf berjalan menghampiri dinding rumah lalu duduk bersila bersandarkan dinding rumah itu. Jalak masih lagi berdiri berhadapan dengan Shira. Mak Mah ke dapur. Menyediakan minum petang.

            “Saya rasa saya dah ingat sikit-sikit. Saya berasal daripada KL.” Sambungnya perlahan. KL itu singkatan untuk Kuala Lumpur. Jalak dan Yusuf saling berpandangan. Mereka tidak pernah mendengar nama negeri yang disebut Shira.

            “Mulalah tu, masing-masing buat muka blur. Sakit pula hati kita ni! Iya, saya memang berasal daripada KL, Malaysia. Tak tipu.” Sambung Shira.

            “Kami bukan tidak percaya, tetapi kami memang tidak pernah mendengar nama negeri yang Shira katakan.” Yusuf pula berkata. Shira memandang Yusuf. Lelaki bertubuh sasa itu sedang mengurut-ngurut telapak kakinya. Lenguh barangkali.

            “Tak percaya sudah, huh” balas Shira lalu berlalu pergi ke dapur. Jalak hanya mengangkat bahunya melihat aksi rajuk gadis berlesung pipit itu. Yusuf tak terkata.